A- A A+

Keratan Akhbar

Bintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktif
 

Sinar Harian, Khamis 12 Februari 2015

muka surat 52

 

KOTA BHARU --  Sebanyak 20 pasukan mengesahkan penyertaan untuk berentap dalam Kejohanan Futsal Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan 2015 yang akan berlangsung di KB Futsal Arena, di sini, esok.

Pengerusi Biro Sukan Persatuan Kebajikan dan Sukan Jabatan Perhutanan negeri, Mohd Sufyan Hassan berkata, pasukan tersebut terdiri dalam kalangan kakitangan jabatan mereka sahaja dan akan bertanding dalam dua kategori iaitu terbuka dan veteran 45 tahun ke atas.

Menurutnya, bagi memeriahkan kejohanan itu, pihaknya juga telah menjalinkan kerjasama dengan Gegar 2015, sebuah kelab yang diwujudkan hasil cetusan idea beberapa pemain bola sepak Kelantan musim ini.

"Sebenarnya  kejohanan ini telah pun berlangsung sejak tahun 2004 lagi. Setiap tahun kita menganjurkannya tetapi kali ini kita membuat keputusan untuk berkolaborasi bersama Gegar 2015."Objektif utama kejohanan ini diadakan ialah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan semua staf Jabatan Perhutanan di seluruh negeri ini melalui penyatuan dalam aktiviti bersukan. Beliau berkata demikian pada sidang media kejohanan berkenaan di Kafe Red Warriors Station, di sini, semalam. Hadir sama Pengerusi Gegar 2015, Zailani Hanizam Ishak dan Pegawai Media Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Md Zuki Deraman.

Menurutnya, selain kategori terbuka dan veteran, turut berlangsung ialah perlawanan khas melibatkan pasukan futsal wanita Jabatan Perhutanan menentang skuad wanita Gegar 2015.

"Pada masa sama, pertembungan empat penjuru juga akan berlangsung melibatkan pasukan pegawai kanan jabatan, Renjer Hutan, urus setia kejohanan dan pasukan Gegar sediri.

"Hadiah piala pusingan dan iringan serta barangan elektrik bakal dimiliki pasukan yang berjaya meraih kejuaraan dalam dua kategori yang dipertandingkan pada kejohanan ini,"katanya.

Sementara itu, Zailani Hanizam memberitahu, penglibatan bersama dalam kejohanan futsal itu merupakan pertama kali pada tahun ini setelah aktiviti pihaknya dihentikan akibat banjir melanda negeri ini, akhir tahun lalu.

"Pada hari kejohanan ini berlangsung, kita bercadang membuka gerai jualan baju selain mengatur pelbagai program menarik," katanya.

 

Search