PERUTUSAN PENGARAH PERHUTANAN NEGERI KELANTAN

 

Assalamualaikum WBT dan Salam 1 Malaysia,

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana JPNK dapat menyalurkan maklumat perhutanan melalui laman web ini. Ianya diharap dapat membantu pengguna mendapatkan maklumat berkaitan sektor perhutanan di negeri ini. Laman web ini adalah merupakan satu usaha Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) dalam menyebarkan maklumat dan aktiviti bulanan perhutanan. JPNK sentiasa optimis dan akan terus memainkan peranan aktif kepada perkembangan sosioekonomi negeri. Selain daripada memelihara dan menguruskan sumber hutan negeri, jabatan juga turut mencetus dimensi social dengan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan serta memulakan rentetan kepada pembukaan kawasan bagi tujuan pembangunan demi kemakmuran dan kepentingan rakyat sejagat. Dalam konteks ini jabatan sentiasa berusaha untuk memastikan sumber hutan dapat diuruskan secara berkekalan dengan jaminan kepada pengekalan biodiversiti sedia ada dan peningkatan mutu dan nilai serta pertambahan kepada pulangan hasil kerajaan negeri.

 

Pihak jabatan juga memberikan tumpuan khusus dalam usaha-usaha membanteras kesalahan hutan. Langkah pengawalan dan kempen-kempen kesedaran berhubung dengan aktiviti-aktiviti yang menjurus ke arah itu sentiasa dipergiatkan. Usaha ini juga turut menekankan kemahiran kepada kakitangan jabatan agar dapat mewujudkan satu jalinan serta rangkaian bagi memastikan sumber hutan negeri sentiasa berada dalam kawalan dan terpelihara. Pihak jabatan juga turut mengambil pendekatan baru dengan menjalinkan hubungan erat dengan agensi-agensi lain khususnya dalam menimba kemahiran dan kepakaran yang mereka miliki untuk diimplementasikan ke dalam tugasan harian jabatan. Pendekatan ini adalah selari dengan matlamat untuk mewujudkan satu sistem yang tepat, efisien dan bermanfaat bagi memastikan fungsi jabatan dapat dicapai dan berperanan sepenuhnya.

 

Pihak jabatan juga turut berperanan dalam menggerakkan usaha-usaha kerajaan untuk mendekati masyarakat. Dalam perkara ini, pihak jabatan sentiasa memberikan kerjasama yang erat bagi memastikan perancangan yang diatur oleh pihak Kerajaan Negeri khususnya dalam mendekati masyarakat di pedalaman tercapai dengan jayanya. Justeru itu, saya berkeyakinan pencapaian Jabatan dapat dipertingkatkan lagi serta sentiasa menjadi tunjang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negeri.

 

Akhir kata saya ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada semua warga JPNK yang telah memberikan sumbangan yang berterusan dan komitmen yang padu kepada usaha jabatan dalam pencapaian-pencapaian ini. Insyaallah, kita juga akan berusaha untuk mengembleng tenaga dan usaha bagi mempertingkatkan lagi pencapaian dalam semua segi pada tahun yang mendatang.

 

Sekian, terima kasih.

Wassalamualaikum WBT.

 

(HAJI ZAHARI BIN IBRAHIM)

Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan.