Pengurusan Hutan Semasa

Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan mempraktikkan Selective Management System (SMS) atau Sistem Pengurusan Memilih untuk mengurus hutan jenis pengeluaran di HSK. Di bawah sistem SMS, pokok-pokok yang dipilih untuk tebangan adalah berdasarkan batas tebangan yang fleksibel yang mengambil kira jumlah stok dirian hutan yang sedia ada dalam setiap kawasan yang akan diusahasil. Sistem tersebut akan memastikan jumlah pokok bersaiz sederhana (30-40 cm ppd) mencukupi dalam dirian tinggal setelah pengusahasilan. Dirian ketinggalan tersebut akan menjamin supaya hutan yang diusahasil tersebut akan mempunyai stoking yang mencukupi untuk tebangan seterusnya iaitu satu tempoh (30 tahun atau 55 tahun) yang ditetapkan. Anggaran-anggaran tumbesaran dan kerosakan yang digunakan dalam menentukan had batas tebangan adalah berdasarkan kajian Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bersama Food and Agriculture Organisation (FAO).

 

Kajian Pengusahasilan Sumber Hutan Di Kawasan Tanah Tinggi

Di dalam RPH, tidak banyak disebutkan berkaitan dengan sumber hutan yang terdapat di kawasan pada ketinggian melebihi 1,000 meter atas paras laut (a.p.l), namun ianya merupakan satu kawasan yang perlu diberi perhatian serius dari segi pengurusan sumber hutan dimasa akan datang. Perkara ini perlu dipandang serius memandangkan pihak Kerajaan Negeri Kelantan telah meluluskan satu kajian perintis pembalakan didalam HSK dimana kawasan terebut adalah terletak pada ketinggian lebih dari 1,000 m a.p.l.

 

Sumber dan Keluasan Hutan >1,000 m a.p.l

Daripada keseluruhan HSK yang terdapat di Negeri Kelantan, seluas 78,909 ha adalah terletak pada ketinggian 1,000 m a.p.l ke atas. Dari jumlah tersebut 40,314 ha adalah diantara ketinggian 1,000 hingga 1,200 meter. Manakala jumlah hutan yang terletak pada paras 1,000 m a.p.l keatas termasuk Hutan Simpan dan Tanah Kerajaan adalah 119,223 hektar. Adalah dianggarkan sebanyak 80% (95,000 ha dari jumlah 119,223 ha) daripada keluasan kawasan yang berada di ketinggian 1,000 meter a.p.l ke atas adalah mempunyai nilai kayu komersial yang tinggi dengan 60% terdiri daripada jenis meranti bukit (Shorea platyclados).

 

Projek Perintis Pembalakan Kawasan Tanah Tinggi

Dalam tahun 2004, iaitu semasa proses penyediaan RPH, satu kajian pengusahasilan hutan di aras 1,000 meter a.p.l. mula dilaksanakan oleh sebuah syarikat swasta iaitu Telemont Sdn Bhd bagi kawasan seluas 2,200 hektar. Oleh kerana pada waktu itu kajian tersebut baru bermula, maka isu atau rancangan pengurusan untuk kajian pengusahasilan di tanah tinggi tidak dimasukkan secara terperinci di dalam RPH.

 

Konsep Pembalakan RIL Kawasan Tanah Tinggi

Teknik dan garis panduan pembalakan secara RIL bukanlah satu preskripsi yang tetap atau jumud, tetapi merupakan penyesuaian teknik pembalakan yang terbaik ke atas keadaan fizikal-hayat dan keadaan ekonomi sedia ada. Kebaikan pembalakan secara RIL bergantung kepada banyak perkara, terutama perancangan yang baik, jentera pembalakan yang sesuai, pekerja yang terlatih, pengawalan dan pemantauan yang kemas dan rapi.

Secara am garis panduan perlaksanaan RIL dalam projek perintis ini adalah berdasarkan model yang dikeluarkan oleh FAO, secara tipikalnya meliputi aktivit-aktiviti berikut :

  • Inventori pra-tebangan (Pre-F) dan penyediaan peta penandaan pokok (mapping of trees);
  • Menjalankan inventori untuk menentukan dimana pokok komersial terbaik berada, justeru dapat merancang pembinaan jalan tuju bagi meminimakan kerosaan terhadap hutan;
  • Menanda dengan jelas pokok yang akan ditebang;
  • Perancangan jalan sebelum tebangan - meminimakan pembukaan dan kepadatan jalan dengan ketiadaan lorong penarik;
  • Memotong akar sebelum tebangan;
  • Memotong akar yang menjalar diantara pokok supaya pokok yang ditebang tidak memaut pokok-pokok lain;
  • Tebangan berarah atau menebang pokok supaya ianya tumbang ke arah yang dikehendaki yang akan meminimakan impak terhadap pokok-pokok lain;
  • Tebangan rendah hampir dengan paras bumi;
  • Penggunaan balak secara efisyen (mengurangkan sisa tebangan);
  • Mengoptimumkan kelebaran jalan;
  • Menarik balak (winch) ke jalan tuju;
  • Menyediakan matau dengan keluasan yang optima;
  • Meminimakan usikan kepada permukaan tanah/bumi
  • Memastikan balak dikeluarkan dengan segera supaya kualiti kayu tidak terjejas

 

Jentera Pembalakan RIL Kawasan Tanah Tinggi

a) Logfisher

Untuk mengurangkan kemudaratan dan kemerosotan ke atas alam sekeliling, kaedah RIL menggunakan jentera Logfisher dalam kawasan kajian dan projek perintis pembalakan kawasan tanah tinggi. Konsep Logfihser ialah penarikan balak dari tempat tebangan hanya menggunakan talian kabel tanpa pembinaan lorong penarik. Kaedah ini dapat mengurangkan kepadatan pembukaan jalan sehingga 80% berbanding kaedah konvensional yang menggunakan jentera Jentolak. Kabel Logfihser boleh menarik balak sehingga jarak 300m (1,000 kaki) daripada tempat tebangan ke jalan tuju dimana jentera Logfisher ditempatkan. Penggunaan boom pada Logfisher untuk menarik balak juga memberi kelebihan kerana hujung balak yang ditarik akan terangkat dan tidak menyodok tanah semasa proses penarikan. Cara ini akan mengurangkan kerosakan kepada permukaan bumi.

Kaedah pembalakan Logfisher tidak memerlukan jentera tersebut masuk rapat ke pokok tebangan untuk menarik balak sebagaimana yang perlu dilakukan oleh Jentolak. Jentera Logfisher hanya ditempatkan di jalan tuju dan menarik balak menggunakan wayar kabel sahaja. Logfisher adalah jentera jengkaut yang diubahsuai dengan memasang kabel panjang bersama puli (pulley) untuk menarik balak dari tempat tebangan ke jalan tuju. Penarikan balak menggunakan tali kabel tidak memerlukan pembukaan jalan atau lorong penarik sebagaimana kaedah pembalakan konvensional. Selain daripada untuk menarik balak, Logfisher juga dapat menjalankan kerja-kerja mengangkat, menyusun dan memunggah balak ke atas lori san-tai-wong.


b) Helikopter & Cable-Yarder

Kaedah pembalakan berimpak rendah menggunakan helikopter merupakan satu kaedah yang memberi impak yang paling minima ke atas permukaan tanah memandangkan ianya dapat meminimakan pembinaan jalan tuju. Walaubagaimanapun, kajian ekonomi menunjukkan kaedah helikopter memerlukan kos permulaan, kos modal dan kos penyelenggaraan yang amat tinggi.


c) Skyline Yarding

Salah satu kaedah yang dicadangkan bagi pengusahasilan hutan secara RIL ialah penggunaan cable-yarder iaitu penggunaan wayar kabel yang tergantung diantara satu menara atau pokok tinggi ke menara dimana balak akan dibawa, kaedah ini dipanggil sky-line yarding. Walaupun ianya sesuai dari segi mengurangkan kerosakan ke atas muka bumi tetapi dari segi praktikal ianya tidak sesuai untuk dilaksanakan secara ekonomikal di kawasan hutan tropika terutama di negeri Kelantan. Kaedah ini juga memerlukan kepakaran yang tinggi dan pekerja terlatih.

 

Pembinaan Jalan Tuju

Pembinaan jalan-jalan tuju adalah berdasarkan kepada spesifikasi jalan yang ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (Garis Panduan Jalan Hutan 2010) dan kaedah-kaedah yang telah dikenalpasti melalui perancangan dan pembinaan jalan hutan yang dilaksanakan semasa perlaksanaan projek ini. Sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan impak semasa  pembinaan jalan, penggunaan jentera jentolak hendaklah digunakan secara minima sementara jentera excavator digunakan secara meluas untuk membina jalan. Jentolak juga dihadkan kepada kerja-kerja pembinaan jalan sahaja dan tidak dibenarkan membuat sebarang penolakan tanah yang tidak dirancang atau melebihi dari yang perlu.