Rancangan Pengurusan Hutan (RPH) ini telah disediakan sebagai sebuah panduan umum kearah pengurusan berkekalan, pembangunan dan pemuliharaan sumber hutan hujan tropika (HHT) di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang terdapat dalam Negeri Kelantan Darulnaim , Malaysia . Kawasan HSK di negeri ini telah diiktiraf oleh pihak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sebagai Unit Pengurusan Hutan (FMU) yang tersendiri dan unik. FMU ini ditadbir dan diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) semenjak 47 tahun yang lalu berdasarkan kepada prinsip-prinsip pengurusan hutan secara berkala (SFM) : manakala RPH ini disediakan bagi tujuan berkenaan bagi meliputi tempoh masa 10 tahun dari 2006 – 2015. Dengan jumlah keluasan kiri-kira 630,000 ha , kawasan FMU ini sedang berada di dalam pusingan kedua di bawah Sistem Pengurusan Memilih (SMS).

RPH ini memaparkan senarai komprehensif arahan-arahan dan pelan tindakan yang akan diikuti dan dilaksanakan oleh JPNK serta pihak-pihak berkuasa berkenaan dalam usaha menguruskan sumber hutan dalam pusingan kedua yang mana membabitkan tempoh  masa kiri-kira 30 tahun akan datang dengan objektif akhirnya  untuk mempastikan kesinambungan dan perkembangan sector perhutanan negeri untuk selama-lamanya. Dalam hubungan ini JPNK mengambil maklum hakikat bahawa stok dirian kayu kayan di bawah pusingan kedua mungkin tidak sebaik dirian dalam pusingan pertama : dari segi kualiti dan kuantiti: dalam halmana stategi yang bersesuaian mestilah digubal dan dilaksanakan bagi menangani dan menyesuaikan diri dengan situasi yang baru. Di samping itu, RPH ini juga mengandungi senarai arahan berhubung dengan langkah-langkah yang dicadangkan bagi menghadapi dan mengurangkan akibat-akibat negatif dari pelaksanaan  projek-projek SFM ke atas alam sekitar dan kompenen-kompenen lain dari ekosistem. Penekanan seumpama ini bukanlah sesuatu yang luar biasa memandangkan kepada sentiment dan trend semasa dan akan datang berkaitan dengan isu alam sekitar dan hubungkait dengan pengurusan  sumber asli dan tanah. Ia juga sejajar dengan trend masa kini dan kehendak badan-badan pensijilan seperti Majlis Pensijilan Hutan Malaysia (MTCC) dan Forest Stewardship Council (FSC).

 

 

RPH ini mengandungi cirri-ciri berikut:

·        Konsep penzonan hutan menurut fungsi di mana kumpulan aktiviti-aktiviti dan kegunaan utama yang berlainan bagi hutan akan dijalankan di dalam kawasan di mana aktiviti?kegunaan berkenaan telah pun dizonkan . Tujuannya ialah bagi meminimumkan konflik dalam urusan gunatanah di samping dapat memelihara integriti (keutuhan) sumber.

·        Konsep Hutan Bernilai Pemeliharaan Tinggi (HCVF) yang meliputi aspek-aspek perancangan  , pembangunan masa akan datang  , penyelidikan dan pembangunan , penilaian formal , pemantauan dan dokumentasi.

·        Dasar pengurusan dan perlindungan ke atas Kawasan Perlindungan Penuh (Totally Protected Areas(TPAs)) yang telah dikenalpasti dan dikhaskan  , misalnya Kawasan Sumber Genetik (GRA) di dalam Simpanan Hutan Dara (VJR), Kawasan Taman Hutan Negeri di HSK Relai dan di sepanjang koridor di antara sempadan kawasan HSK si sebelah selatan dengan Taman Negara.

·        Standard dan garis panduan mengenai regulasi pengusahasilan sumber kayu balak, kawalan hakisan, pengurusan kerosakan hutan serta gangguan –gangguan mekanikal lain semasa penuaian, pembinaan jalan, pemeliharaan sumber air serta langkah-langkah mitigasi yang bersesuian dalam usaha meminimumkan impak-impak negative dari operasi-operasi berkenaan.

 

Di atas hanyalah sebahagian daripada tindakan-tindakan yang telah dan akan terus diambil oleh JPNK bagi mempertingkatkan tahap profesionalismenya dalam mengurus sumber HHT yang unik ini serta pada masa yang sama memenuhi sebahagian  daripada  tuntutan badan-badan pensijilan utama seperti MTCC dan FSC yang mana dengan jelas menghendaki adanya sebuah Rancangan Pengurusan Hutan  (RPH) yang ditulis dengan baik dan memasukan elemen-elemen yang dinyatakan tadi. RPH ini telah dapat disediakan menerusi penggunaan data, sumber maklumat serta pengalaman JPNK selama hamper lima dekad yang lalu. Sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab, JPNK berazam penuh dalam melindungi alam sekitar sambil pada masa yang sama menyumbang secara positif kepada ekonomi negeri dan masyarakat dengan cara membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan bahan mentah kayu tempatan serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Selain daripada isu-isu yang disebutkan tadi, RPH ini juga mengambil kira perkara-perkara berikut bersabit dengan pengurusan SFM kawasan Hutan Pengeluaran bagi penghasilan bahan mentah kayu balak.

·         Bahawa terdapat kekurangan yang serius dalam data mengenai tumbesaran dan penghasilan ( G & Y) pokok dan dirian tinggal daripada petak contoh kekal untuk digunakan sebagai asas bagi mengira kadar catuan tebangan tahunan (AAC- Annual Allowable coups) dan regulasi  pengusahasilan kayu balak serta bagi menyokong keputusan pengurusan dan silvikultur. Dalam suasana sebegini, data bagi pertambahan putaran tahunan (m.a.i  - mean annual increment) isipadu yang digunakan  adalah berdasarkan bancian  yang  dilakukan ke atas dirian tinggal dari pelbagai “umur” atau Y.E.A.L ( Years Elapsed After Logging).

·         Lanjutan daripada yang di atas, didapati bahawa kadar m.a.i isipadu bagi pokok-pokok 15cm PPD dan ke atas ialah  1.536mз/ha/tahun bagi semua spesies, dan 4.502mз/ha.

·         Anggaran isipadu tegak kasar pokok – pokok > 45cm PPD pada YEAL 14 ialah 62.5mз/ha.

·    Kadar AAC yang berdayakekal (sustainable ) bagi kawasan pengeluaran bersih dianggarkan 500,000 – 600,000 mз/tahun daripada anggaran keseluruhan catuan tebangan seluas 4,900 – 6,000ha dirian hutan setahun.

·       Suatu rancangan rawatan hutan akan diusahakan demi untuk mempertingkatkan kandungan dan kadar tumbesaran komponen kaum dipterokarpa , bermula dengan kawasan yang mempunyai YEAL paling muda dengan menekankan kepada kelas kebesaran anak pokok dan pokok faras.

·       Keputusan dan penemuan daripada analisis yang dilakukan semasa penyediaan RPH ini adalah bersifat preliminari dan akan dikemaskinikan  dari semasa ke semasa iaitu ketika RPH ini menjalani proses kajian semula secara berkala.

Di antara saranan –saranan yang dibuat di dalam RPH ini ialah:

1.      Usaha kearah memelihara sumber  hutan dan mengekalkan integriti kawasan HSK akan dipergiat kan dengan memperuntukkan secara perundangan bahawa mana-mana kawasan HSK yang “diwarta-keluar (i.e. dibatalkan )” hendaklah diganti semula dengan serta merta dengan kawasan lain yang bersesuaian dari Hutan Tanah Kerajaan (HTK): berdasarkan suatu formula yang dipersetujui  bersama.

2.      Kerja-kerja akan dijalankan bagi memagar sempadan luar kawasan HSK yang dikenalpasti , terutamanya di lokasi yang berstategik yang terdedah kepada ancaman dan pencerobohan, di samping kerja-kerja pemantauan yang berterusan. Dalam hubungan ini penubuhan sebuah Unit  Udara di peringkat JPNK, khusus bagi tujuan pemantauan  akan dipertimbangkan .

3.     JPNK akan membina dan memperkukuhkan pengkalan datanya sendiri mengenai dirian hutan beserta maklumat lain berkaitan yang mana berguna bagi proses pembuatan keputusan di masa akan datang.

4.     JPNK akan membangunkan strategi yang bersesuaian bagi menjadikannya kukuh dari segi kewangan dan berdayamaju  dalam usaha mempastikan keberkekalan operasi dan pemeliharaan sumber dan alam sekitar . ini termasuklah mewujud dan melaksanakan strategi  yang bersesuaian dalam membangunkan pelbagai punca hasil pendapatan alternatif  dari HSK  dari kalangan hasil hutan bukan kayu (NTFP).

5.    Pendidikan kakitangan, program pembangunan kapasiti dan penyelidikan dan pembangunan (R & D) akan diberi keutamaan sewajarnya dalam agenda JPNK. Di antara strategi yang akan dilaksanakan ialah, menubuhkan sebuah Unit R & D di peringkat jabatan.

6.    JPNK akan berusaha  keras secara berterusan bagi menambah baik tahap pengurusan hutanya sehingga melayakkan untuk diberi pengiktirafan di bawah piawaian badan pensijilan seperti MTCC, FSC dan ISO14001. Kea rah ini sebuah Unit Regulasi Hutan bagi sesuatu kawasan HSK yang akan diusahasil akan ditubuhkan.

7.Sebagai sebuah dokumen hidup, dokumen  RPH ini akan dikaji semula dari semasa ke semasa secara berkala bagi maksud untuk mengemaskinikannya berdasarkan penemuan  terbaru daripada petak-petak pemantauan kekal dan pengalaman di lapangan. Dicadangkan supaya urusan pengemaskinian ini dijalankan sekurang-kurangnya pada setiap 3 tahun. Dalam pada iti, hal ini tidak pula menjejaskan hak Pengarah untuk melakukan pengemaskinian  pada bila-bila masa yang difikirkannya sesuai dan menasabah.