1. Siapakah yang harus dihubungi jika terdapat kes pembalakan haram?

Jika terdapat kes pembalakan haram anda boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan di talian 09-7482140.

 

2. Bagaimana untuk mendapatkan maklumat tentang hutan bakau? 

Maklumat berkaitan hutan bakau boleh diperolehi di http://bakau.forestry.gov.my

 

3. Apakah itu Silvikultur? 

Silvikultur boleh ditakrifkan sebagai sains dan seni bagi pembangunan serta penjagaan sesuatu dirian hutan berdasarkan kepada aplikasi pengetahuan silvik. Ia merupakan teori dan amalan dalam pengawalan penubuhan, komposisi, struktur dan pertumbuhan hutan.

 

4. Jenis-jenis rawatan silvikultur dalam sistem pengurusan hutan di Semenanjung Malaysia?

- Inventori Hutan Selepas Tebangan (Post-F)

- Memotong Akar/Pepanjat (CL)

- Tanaman Mengaya

 

5. Apakah yang dimaksudkan dengan kepelbagaian biologi?

Kepelbagaian biologi atau "biodiversity" didefinisikan sebagai kepelbagaian antara organisma hidup dari pelbagai sumber dari daratan mahupun samudera dan lain-lain yang melangkau ekosistem akuatik dan sebahagian daripada ekosistem yang kompleks termasuk di dalam kelompok spesies dan antara spesies dan ekosistemnya. (United Nation Earth Summit, 1992).

 

6. Pengertian Pemuliharaan Ex-situ

Pemuliharaan ex-situ adalah pengekalan spesies di luar habitat asal mereka dalam kemudahan seperti arboreta, zoo, bank gen benih, bank gen in vitro dan bank gen ladang.

 

7. Pengertian Pemuliharaan In-situ

Pemuliharaan in-situ adalah pengekalan tumbuh-tumbuhan dan haiwan di habitat asalnya dengan ekologi semulajadi yang dapat mengekalkan populasi biak baka flora dan fauna.

 

8. Apakah yang dimaksudkan dengan Etnobotani?

Etnobotani bermaksud merekod, menggambarkan dan menjelaskan kaitan rumit antara budaya dan (kegunaan) tumbuhan: menumpukan, terutamanya, bagaimana tumbuhan digunakan, diurus dan dinilai merentasi masyarakat manusia (contohnya: sebagai makanan; sebagai ubat; dalam menujum; dalam kosmetik; dalam mewarna; sebagai pakaian; dalam pembinaan; sebagai peralatan; sebagai wang; dalam sastera; dalam upacara; dan dalam kehidupan masyarakat.

 

9. Maksud tanaman mengaya

Penanaman dalam sesuatu kawasan dengan spesies asal atau spesies dagang untuk mengayakan semula kawasan tersebut dan tindakan pemulihan ini tidak banyak mengganggu dirian tinggal.

 

10. Taman Negara

"Taman Negara" ertinya sesuatu Taman Negara yang ditubuhkan di bawah seksyen 3 Akta Taman Negara 1980 bagi tujuan memelihara dan melindungi hidupan liar, hidupan tumbuh-tumbuhan dan benda-benda yang mempunyai kepentingan dari segi kaji bumi, kaji purba, sejarah dan etnologi dan kepentingan lain dari segi sains dan pemandangan, dan melalui pemeliharaan dan penggunaanya untuk memajukan pendidikan, kesihatan, nilai estetik dan rekreasi orang ramai.

 

11. Hutan Lipur

Hutan lipur ialah sesuatu kawasan yang terletak di dalam hutan simpanan kekal yang diwartakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 Seksyen 10(1)(i) yang digunakan bagi tujuan aktiviti rekreasi seperti beristirehat, bersukan, menjalankan penyelidikan dan pendidikan serta memelihara flora dan fauna.

 

12. Hutan Rekreasi

Hutan rekreasi ialah mana-mana kawasan yang terletak di luar kawasan hutan simpanan kekal bagi tujuan rekreasi.

 

13. Bagaimanakah cara untuk saya menghantar maklum balas kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan?

Sila klik dan isi borang Maklum Balas yang boleh didapati di bahagian laman utama. 

Anda juga boleh menghubungi:- 

Tel: 09-7482140
Faks: 09-7445675 atau
Emel: forestry[at]kelantan[dot]gov[dot]my

PERHATIAN: Jika anda mempunyai sebarang soalan yang tiada di dalam Soalan Lazim ini, boleh menghubungi nombor berikut hotline di 1-800-88-5776 atau emailkan kepada forestry[at]kelantan[dot]gov[dot]my