Skip to main content

Pages

Kaedah-Kaedah Pengusahasilan

Pengurusan Hutan Semasa

Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan mempraktikkan Selective Management System (SMS) atau Sistem Pengurusan Memilih untuk mengurus hutan jenis pengeluaran di HSK. Di bawah sistem SMS, pokok-pokok yang dipilih untuk tebangan adalah berdasarkan batas tebangan yang fleksibel yang mengambil kira jumlah stok dirian hutan yang sedia ada dalam setiap kawasan yang akan diusahasil. Sistem tersebut akan memastikan jumlah pokok bersaiz sederhana (30-40 cm ppd) mencukupi dalam dirian tinggal setelah pengusahasilan. Dirian ketinggalan tersebut akan menjamin supaya hutan yang diusahasil tersebut akan mempunyai stoking yang mencukupi untuk tebangan seterusnya iaitu satu tempoh (30 tahun atau 55 tahun) yang ditetapkan. Anggaran-anggaran tumbesaran dan kerosakan yang digunakan dalam menentukan had batas tebangan adalah berdasarkan kajian Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bersama Food and Agriculture Organisation (FAO).

 

Kajian Pengusahasilan Sumber Hutan Di Kawasan Tanah Tinggi

Di dalam RPH, tidak banyak disebutkan berkaitan dengan sumber hutan yang terdapat di kawasan pada ketinggian melebihi 1,000 meter atas paras laut (a.p.l), namun ianya merupakan satu kawasan yang perlu diberi perhatian serius dari segi pengurusan sumber hutan dimasa akan datang. Perkara ini perlu dipandang serius memandangkan pihak Kerajaan Negeri Kelantan telah meluluskan satu kajian perintis pembalakan didalam HSK dimana kawasan terebut adalah terletak pada ketinggian lebih dari 1,000 m a.p.l.

 

Sumber dan Keluasan Hutan >1,000 m a.p.l

Daripada keseluruhan HSK yang terdapat di Negeri Kelantan, seluas 78,909 ha adalah terletak pada ketinggian 1,000 m a.p.l ke atas. Dari jumlah tersebut 40,314 ha adalah diantara ketinggian 1,000 hingga 1,200 meter. Manakala jumlah hutan yang terletak pada paras 1,000 m a.p.l keatas termasuk Hutan Simpan dan Tanah Kerajaan adalah 119,223 hektar. Adalah dianggarkan sebanyak 80% (95,000 ha dari jumlah 119,223 ha) daripada keluasan kawasan yang berada di ketinggian 1,000 meter a.p.l ke atas adalah mempunyai nilai kayu komersial yang tinggi dengan 60% terdiri daripada jenis meranti bukit (Shorea platyclados).

 

Projek Perintis Pembalakan Kawasan Tanah Tinggi

Dalam tahun 2004, iaitu semasa proses penyediaan RPH, satu kajian pengusahasilan hutan di aras 1,000 meter a.p.l. mula dilaksanakan oleh sebuah syarikat swasta iaitu Telemont Sdn Bhd bagi kawasan seluas 2,200 hektar. Oleh kerana pada waktu itu kajian tersebut baru bermula, maka isu atau rancangan pengurusan untuk kajian pengusahasilan di tanah tinggi tidak dimasukkan secara terperinci di dalam RPH.

 

Konsep Pembalakan RIL Kawasan Tanah Tinggi

Teknik dan garis panduan pembalakan secara RIL bukanlah satu preskripsi yang tetap atau jumud, tetapi merupakan penyesuaian teknik pembalakan yang terbaik ke atas keadaan fizikal-hayat dan keadaan ekonomi sedia ada. Kebaikan pembalakan secara RIL bergantung kepada banyak perkara, terutama perancangan yang baik, jentera pembalakan yang sesuai, pekerja yang terlatih, pengawalan dan pemantauan yang kemas dan rapi.

Secara am garis panduan perlaksanaan RIL dalam projek perintis ini adalah berdasarkan model yang dikeluarkan oleh FAO, secara tipikalnya meliputi aktivit-aktiviti berikut :

  • Inventori pra-tebangan (Pre-F) dan penyediaan peta penandaan pokok (mapping of trees);
  • Menjalankan inventori untuk menentukan dimana pokok komersial terbaik berada, justeru dapat merancang pembinaan jalan tuju bagi meminimakan kerosaan terhadap hutan;
  • Menanda dengan jelas pokok yang akan ditebang;
  • Perancangan jalan sebelum tebangan - meminimakan pembukaan dan kepadatan jalan dengan ketiadaan lorong penarik;
  • Memotong akar sebelum tebangan;
  • Memotong akar yang menjalar diantara pokok supaya pokok yang ditebang tidak memaut pokok-pokok lain;
  • Tebangan berarah atau menebang pokok supaya ianya tumbang ke arah yang dikehendaki yang akan meminimakan impak terhadap pokok-pokok lain;
  • Tebangan rendah hampir dengan paras bumi;
  • Penggunaan balak secara efisyen (mengurangkan sisa tebangan);
  • Mengoptimumkan kelebaran jalan;
  • Menarik balak (winch) ke jalan tuju;
  • Menyediakan matau dengan keluasan yang optima;
  • Meminimakan usikan kepada permukaan tanah/bumi
  • Memastikan balak dikeluarkan dengan segera supaya kualiti kayu tidak terjejas

 

Jentera Pembalakan RIL Kawasan Tanah Tinggi
a) Logfisher

Untuk mengurangkan kemudaratan dan kemerosotan ke atas alam sekeliling, kaedah RIL menggunakan jentera Logfisher dalam kawasan kajian dan projek perintis pembalakan kawasan tanah tinggi. Konsep Logfihser ialah penarikan balak dari tempat tebangan hanya menggunakan talian kabel tanpa pembinaan lorong penarik. Kaedah ini dapat mengurangkan kepadatan pembukaan jalan sehingga 80% berbanding kaedah konvensional yang menggunakan jentera Jentolak. Kabel Logfihser boleh menarik balak sehingga jarak 300m (1,000 kaki) daripada tempat tebangan ke jalan tuju dimana jentera Logfisher ditempatkan. Penggunaan boom pada Logfisher untuk menarik balak juga memberi kelebihan kerana hujung balak yang ditarik akan terangkat dan tidak menyodok tanah semasa proses penarikan. Cara ini akan mengurangkan kerosakan kepada permukaan bumi.

Kaedah pembalakan Logfisher tidak memerlukan jentera tersebut masuk rapat ke pokok tebangan untuk menarik balak sebagaimana yang perlu dilakukan oleh Jentolak. Jentera Logfisher hanya ditempatkan di jalan tuju dan menarik balak menggunakan wayar kabel sahaja. Logfisher adalah jentera jengkaut yang diubahsuai dengan memasang kabel panjang bersama puli (pulley) untuk menarik balak dari tempat tebangan ke jalan tuju. Penarikan balak menggunakan tali kabel tidak memerlukan pembukaan jalan atau lorong penarik sebagaimana kaedah pembalakan konvensional. Selain daripada untuk menarik balak, Logfisher juga dapat menjalankan kerja-kerja mengangkat, menyusun dan memunggah balak ke atas lori san-tai-wong.


b) Helikopter & Cable-Yarder

Kaedah pembalakan berimpak rendah menggunakan helikopter merupakan satu kaedah yang memberi impak yang paling minima ke atas permukaan tanah memandangkan ianya dapat meminimakan pembinaan jalan tuju. Walaubagaimanapun, kajian ekonomi menunjukkan kaedah helikopter memerlukan kos permulaan, kos modal dan kos penyelenggaraan yang amat tinggi.


c) Skyline Yarding

Salah satu kaedah yang dicadangkan bagi pengusahasilan hutan secara RIL ialah penggunaan cable-yarder iaitu penggunaan wayar kabel yang tergantung diantara satu menara atau pokok tinggi ke menara dimana balak akan dibawa, kaedah ini dipanggil sky-line yarding. Walaupun ianya sesuai dari segi mengurangkan kerosakan ke atas muka bumi tetapi dari segi praktikal ianya tidak sesuai untuk dilaksanakan secara ekonomikal di kawasan hutan tropika terutama di negeri Kelantan. Kaedah ini juga memerlukan kepakaran yang tinggi dan pekerja terlatih.

 

Pembinaan Jalan Tuju

Pembinaan jalan-jalan tuju adalah berdasarkan kepada spesifikasi jalan yang ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (Garis Panduan Jalan Hutan 2010) dan kaedah-kaedah yang telah dikenalpasti melalui perancangan dan pembinaan jalan hutan yang dilaksanakan semasa perlaksanaan projek ini. Sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan impak semasa  pembinaan jalan, penggunaan jentera jentolak hendaklah digunakan secara minima sementara jentera excavator digunakan secara meluas untuk membina jalan. Jentolak juga dihadkan kepada kerja-kerja pembinaan jalan sahaja dan tidak dibenarkan membuat sebarang penolakan tanah yang tidak dirancang atau melebihi dari yang perlu.

Read more …Kaedah-Kaedah Pengusahasilan

  • Hits: 652

Ringkasan Eksekutif Rancangan Pengurusan Hutan

RINGKASAN UMUM RANCANGAN PENGURUSAN HUTAN

FMU KELANTAN 2.0 (2020-2030)

 

PENGENALAN

Ringkasan Awam Rancangan Pengurusan Hutan FMU Kelantan 2.0 (2020-2030), untuk memberi gambaran kepada pihak awam tentang pelaksanaan pengurusan hutan melibatkan kawasan Skop Pensijilan di Negeri Kelantan. Secara umumnya, Ringkasan Awam Rancangan Pengurusan Hutan , Rancangan Pengurusan Hutan FMU Kelantan 2.0 (2020-2030) dijana mengikut Panduan Penyediaan Racangan Pengurusan Hutan Bagi Negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.  Tempoh RPH ini adalah selama 10 tahun bermula tahun 2020 hingga tahun 2030. Jangka masa pelaksanaan ini adalah melibatkan Rancangan Malaysia Ke-11 dan Rancangan Malaysia Ke-12.

 

Matlamat:

Mengurus sumber hutan dan industri perhutanan secara mapan untuk kepentingan ekonomi, alam sekitar, sosial dan biodiversiti.

Objektif:

  • Mengekalkan sumbangan sektor perhutanan kepada sosial-ekonomi;
  • Meningkatkan pembangunan industri pembuatan produk hiliran berasas kayu dan bukan kayu;
  • Membangunkan sumber kayu utama adalah daripada ladang hutan;
  • Menangani isu penyahan dan degradasi Hutan Simpan Kekal (HSK), kehilangan serta berkurangan biodiversiti dan impak alam sekitar;
  • Menaikan imej sektor perhutanan;
  • Menggalakan penglibatan orang awam, NGO dan institusi pengajian tinggi dalam aktiviti/program perhutanan;  
  • Memperkemas dan menyelaras pelaksanaan polisi, perundangan, peraturan dan pentadbiran antara agensi kerajaan; dan
  • Meningkat keberkesanan pengurusan dan pentadbiran hutan, sumber hutan dan industri perhutanan.

Antara saranan-saranan yang dibuat di dalam RPH ini meliputi perancangan dan pelaksanaan pengurusan hutan mengikut klasifikasi fungsi hutan dalam HSK dan mendapatkan maklumat yang terperinci mengenai isi kandungan kawasan-kawasan HSK melalui inventori hutan.

Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Negeri Kelantan mula diwartakan bertujuan untuk menjamin status tanah sebagai kawasan hutan yang diuruskan ke arah perolehan kayu secara berkekalan. Melalui pewartaan ini, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan bertanggungjawab untuk mentadbir dan mengurus kawasan HSK secara berkekalan berdasarkan Akta Perhutanan Negara 1984 (pindaan 1993) dan Dasar Perhutanan Negara 1987 (pindaan 1992). Rancangan Pengurusan Hutan FMU Kelantan 2.0 (2020-2030) adalah seluas 250,000 hektar merupakan kawasan dalam Skop Pensijilan Pengurusan Hutan. Maklumat bagi kawasan HSK yang terlibat di dalam Skop Pensijilan adalah seperti di Lampiran. Daripada Keluasan Skop pensijilan kawasan Hutan Perlindungan seluas 152,560 hektar (61%) dan 97,440 (39%) hektar adalah merupakan Hutan Pengeluaran. Kawasan Hutan Perlindungan adalah melibatkan Kelas Fungsi Hutan Tadahan Air, Hutan Simpanan Hutan Dara, Hutan Lipur dan Hutan Taman Negeri. Kawasan bagi Skop Pensijilan yang dibahagikan kepada Hutan Perlindungan dan kawasan Hutan Pengeluaran adalah sebagaimana pelan dilampiran. HSK dan kedudukan yang berada di dalam kawasan skop adalah seperti di dalam lampiran.

Carta 1: Maklumat Skop Pengurusan Hutan FMU Kelantan 2.0

  • Hits: 742

Pengkelasan Hutan Simpan

MAKLUMAT PEWARTAAN PENGELASAN FUNGSI KEGUNAAN HUTAN MENGIKUT SEKSYEN 10(1) AKTA PERHUTANAN NEGARA 

pengkelasan_hutan.PNG

Sumber: Unit Pengurusan Hutan JPNK

  • Hits: 743

Kawasan Hutan Bernilai Pemeliharaan Tinggi HCVF

Kedudukan Semasa

Sehingga sekarang Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan telah mengistiharkan kawasan seluas 15ha dalam setiap Kompartment 11, 17 dan 19 sebagai Hutan HCVF demi untuk mengekalkan perlindungan satu spesies tumbuhan yang endemic kepada Negeri Kelantan. Tumbahan tersebut dinamakan Licuala stongiensis yang hanya dijumpai di dalam Taman Negeri Gunung Stong (TNGS). Memandangkan Negeri Kelantan mempunyai kekayaan flora dan fauna yang tidak banyak terbatas maka lebih banyak hutan-hutan 'High Conservation Value Forest' (HCVF) perlu dikenalpasti.

 

Oleh yang demikian, untuk memenuhi keperluan Kajian SSP RPH 2006 - 2015, satu penilaian ke atas status pemuliharaan flora, fauna dan hutan HCVF telah dijalankan dengan tujuan untuk mencatat kemajuan dalam aktiviti pemuliharaan biodiversiti fauna dan HCVF disamping mengenalpasti jurang pelaksanaan untuk penambahbaikan HCVF dalam tempoh penggal kedua RPH.

 

Metodologi

Metodologi yang digunakan dalam kajian ini ialah melalui data sekunder daripada RPH Negeri Kelantan, Laporan Penilaian Unit Pengurusan Hutan Negeri Kelantan 2006, 2007, 2008 dan 2010 berdasarkan piawai MC&I (2002), Ekspedisi TNGS, Rancangan Pengurusan TNGS, keratan akhbar mengenai konflik hidupan liar-manusia, temuramah bersama pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Selain dari biodiversiti flora, HSK Negeri Kelantan juga menampung banyak biodiversiti fauna yang terancam antara lain badak sumatera (Dicerorhinus sumatrensis), harimau belang (Panthera tigris), gajah (Elephas maximus), seladang (Bos gaurus), kuang gunung (Rheinartia occelata), enggang tebang mertua (Rhinoplax vigil), kelisa (Scleropages formosus) dan kelah (Tor tambroides) (Anon, 2006). Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan juga telah mendokumentasikan senarai semakan biodiversiti fauna di beberapa HSK dan menyenaraikan profil HSK yang mempunyai kepentingan hidupan liar. Selain itu, RPH juga telah menyentuh kepentingan untuk mewujudkan HCVF dan Kawasan Sumber Genetik (GRA). Namun keperluan ini telah bertambah kian penting bagi menangani konflik manusia-hidupan liar khususnya yang berkaitan dengan harimau belang dan gajah.

 

Dalam kajian SSP RPH 2006 - 2015 beberapa cadangan telah dikemukan untuk memantapkan lagi pelaksanaan penggal kedua RPH, iaitu mewujudkan setiap kelas HCVF di HSK; zon penampan dan rizab sungai/alur air untuk kawasan yang bersempadan dengan VJR, TNGS, dan Taman Negara Kelantan; merangka pelan inventori biodiversiti fauna di HSK dan koridor hidupan liar terpilih serta Taman Negara Kelantan bersama stakeholders; dan memastikan keperluan Environmental Impact Assessment (EIA) untuk pembalakan dan pembangunan di kawasan HSK.

 

Biodiversiti Fauna

Negeri Kelantan merupakan sebuah negeri yang kaya dengan biodiversiti fauna dengan wujudnya HSK termasuk TNGS yang agak luas dengan jumlah keluasan 623,849 ha dan Taman Negara Kelantan sebanyak 80,250 ha. RPH mencatatkan kebanyakkan hidupan liar yang terancam yang masih boleh dijumpai di HSK Negeri Kelantan. Sebagai contoh, gajah dijumpai di 13 HSK, seladang masih dikesan di sekurang-kurangnya tujuh HSK dan badak sumatra di lima kawasan dan kesemua HSK dapat menampung sekurang-kurangnya 36 ekor harimau belang (Anon, 2006). Kekayaan spesies hidupan liar seperti ini juga membawa pelbagai masalah kepada masyarakat tempatan dan konflik manusia-hidupan liar telah dialami di persekitaran Jeli. Sehingga kini, gajah telah menceroboh kawasan pertanian di Kg. Seberang Jeli dan Kg. Berdang (JPNK, 2006), Cherang Hangus (Elephant News, 2011) dan harimau kerap ditangkap di Jeli dan Tanah Merah (Star, 2002). Sementara itu, bancian hidupan liar di HSK Jentiang, Sokor Taku dan Hulu Temiang mencatatkan sebanyak 11 spesies mamalia, empat spesies reptilia dan 23 spesies burung (Anon, 2006).

 

Dalam tahun 2004, Ekspedisi TNGS mencatatkan 57 spesies burung (Shahrul et al, 2005), 31 spesies mamalia (Zafir et al, 2005), 13 spesies amfibia (Norhayati et al, 2005), 18 spesies reptilia (Sharma et al, 2005) dan 15 spesies ikan air tawar (Abdullah et al, 2005). RPH juga memberi profil HSK yang mempunyai kepentingan hidupan liar seperti kewujudan badak Sumatra dan gajah dalam kawasan bersempadan dengan Taman Negara dan Sg. Nenggiri di mana Projek Ikan Kelah yang meibatkan masayarakat tempatan bertapak.

 

Biodiversiti Flora

 

RPH telah memberi satu ulasan dan penerangan yang agak lengkap mengenai status dan ancaman flora di Negeri Kelantan terutama mengenai spesies tumbuhan endemik dan hiperdemik. Maklumat tersebut adalah berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan oleh Ng & Low, 1982. Mengikut kajian tersebut, Kelantan mencatatkan mempunyai sejumlah 654 spesies pokok yang diangggap endemik kepada Semenanjung Malaysia, dan 52% (atau 340 spesies) daripadanya dianggap terancam. Dari sejumlah 148 spesies endemik yang dikenalpasti di Kelantan, 48 spesies adalah sama ada nadir atau sangat nadir. Sejumlah 7 spesies pokok endemik ditarafkan sebagai hiper-endemik (Jadual 1). Disamping itu terdapat banyak spesies herba yang bersifat endemik di Kelantan, termasuklah spesies Begonia yang ditemui di Gua Jaya and Sungai Bering, Epithema, Ophiorrhiza longerepens dari Batu Boh dan Paraboea dari Gua Gagak (lokaliti Batu Kapur) dan Gunung Rabong serta Conodoboea dari Sungai Ketil, di selatan Gua Musang (di tebing sungai) (Davison & Kiew, 1990).

 

 Jadual 1. Senarai Spesies Tumbuhan Hiper-Endemik Dan Lokalitinya Di Kelantan

 

Negeri Kelantan juga mempunyai tumbuhan lain yang boleh dikatakan istimewa walaupun masih banyak terdapat di merata tempat di Kelantan. Ini termasuklah Vaughan's balsam di Gua Ikan dekat Dabong, Spatholirion ornatum di Gua Setir, Cryptocoryne minima dari Batu Boh dan kerabatnya Cryptocoryne purpurea dari Gua Panjang. Pokok palma besar Borassodendrom machadonis, tumbuh di 7 lokasi : 1 lokasi di Thailand dan 6 lokasi di Semenanjung Malaysia, di mana 2 daripada lokasi terbabit terletak dalam negeri Kelantan. Tumbuh-tumbuhan ini adalah jarang ditemui dan unik : tumbuh khususnya di tebing sungai di hutan dipterokarpa pamah yang terdedah kepada banjir kecil; di kaki bukit batu kapur dan batuan yang basah/lembap.

 

Konsep Hutan 'High Conservation Value'

Pengelasan HCVF merupakan satu daripada keperluan untuk pensijilan pengurusan hutan sebagai mematuhi Prinsip 9 Forest Stewardship Council (FSC) dan juga piawai [MC&I (2002)]. Konsep HCVF membahagikan hutan kepada enam kelas dan unsur seperti berikut (Jadual 2):

Jadual 2. Jenis Pengkelasan HCV

  • Hits: 744

Impak Sosio-Ekonomi

IMPAK SOSIO

Peluang-peluang pekerjaan dan bisnes yang diwujudkan bagi masyarakat tempatan dengan sebab wujudnya Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan akan terus signifikans seperti sebelumnya. Pekerjaan yang bersifat kekal dan jangka panjang bererti kehidupan yang stabil bagi pekerja-pekerja berkenaan dan keluarga mereka. Kejayaan menarik pelaburan dari luar negeri Kelantan juga memberi impak posifit kepada sosio-ekonomi negeri.

Read more …Impak Sosio-Ekonomi

  • Hits: 657