Kedudukan Semasa
Sehingga sekarang Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan telah mengistiharkan kawasan seluas 15ha dalam setiap Kompartment 11, 17 dan 19 sebagai Hutan HCVF demi untuk mengekalkan perlindungan satu spesies tumbuhan yang endemic kepada Negeri Kelantan. Tumbahan tersebut dinamakan Licuala stongiensis yang hanya dijumpai di dalam Taman Negeri Gunung Stong (TNGS). Memandangkan Negeri Kelantan mempunyai kekayaan flora dan fauna yang tidak banyak terbatas maka lebih banyak hutan-hutan 'High Conservation Value Forest' (HCVF) perlu dikenalpasti.
Oleh yang demikian, untuk memenuhi keperluan Kajian SSP RPH 2006 - 2015, satu penilaian ke atas status pemuliharaan flora, fauna dan hutan HCVF telah dijalankan dengan tujuan untuk mencatat kemajuan dalam aktiviti pemuliharaan biodiversiti fauna dan HCVF disamping mengenalpasti jurang pelaksanaan untuk penambahbaikan HCVF dalam tempoh penggal kedua RPH.
Metodologi
Metodologi yang digunakan dalam kajian ini ialah melalui data sekunder daripada RPH Negeri Kelantan, Laporan Penilaian Unit Pengurusan Hutan Negeri Kelantan 2006, 2007, 2008 dan 2010 berdasarkan piawai MC&I (2002), Ekspedisi TNGS, Rancangan Pengurusan TNGS, keratan akhbar mengenai konflik hidupan liar-manusia, temuramah bersama pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Selain dari biodiversiti flora, HSK Negeri Kelantan juga menampung banyak biodiversiti fauna yang terancam antara lain badak sumatera (Dicerorhinus sumatrensis), harimau belang (Panthera tigris), gajah (Elephas maximus), seladang (Bos gaurus), kuang gunung (Rheinartia occelata), enggang tebang mertua (Rhinoplax vigil), kelisa (Scleropages formosus) dan kelah (Tor tambroides) (Anon, 2006). Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan juga telah mendokumentasikan senarai semakan biodiversiti fauna di beberapa HSK dan menyenaraikan profil HSK yang mempunyai kepentingan hidupan liar. Selain itu, RPH juga telah menyentuh kepentingan untuk mewujudkan HCVF dan Kawasan Sumber Genetik (GRA). Namun keperluan ini telah bertambah kian penting bagi menangani konflik manusia-hidupan liar khususnya yang berkaitan dengan harimau belang dan gajah.
Dalam kajian SSP RPH 2006 - 2015 beberapa cadangan telah dikemukan untuk memantapkan lagi pelaksanaan penggal kedua RPH, iaitu mewujudkan setiap kelas HCVF di HSK; zon penampan dan rizab sungai/alur air untuk kawasan yang bersempadan dengan VJR, TNGS, dan Taman Negara Kelantan; merangka pelan inventori biodiversiti fauna di HSK dan koridor hidupan liar terpilih serta Taman Negara Kelantan bersama stakeholders; dan memastikan keperluan Environmental Impact Assessment (EIA) untuk pembalakan dan pembangunan di kawasan HSK.
Biodiversiti Fauna
Negeri Kelantan merupakan sebuah negeri yang kaya dengan biodiversiti fauna dengan wujudnya HSK termasuk TNGS yang agak luas dengan jumlah keluasan 623,849 ha dan Taman Negara Kelantan sebanyak 80,250 ha. RPH mencatatkan kebanyakkan hidupan liar yang terancam yang masih boleh dijumpai di HSK Negeri Kelantan. Sebagai contoh, gajah dijumpai di 13 HSK, seladang masih dikesan di sekurang-kurangnya tujuh HSK dan badak sumatra di lima kawasan dan kesemua HSK dapat menampung sekurang-kurangnya 36 ekor harimau belang (Anon, 2006). Kekayaan spesies hidupan liar seperti ini juga membawa pelbagai masalah kepada masyarakat tempatan dan konflik manusia-hidupan liar telah dialami di persekitaran Jeli. Sehingga kini, gajah telah menceroboh kawasan pertanian di Kg. Seberang Jeli dan Kg. Berdang (JPNK, 2006), Cherang Hangus (Elephant News, 2011) dan harimau kerap ditangkap di Jeli dan Tanah Merah (Star, 2002). Sementara itu, bancian hidupan liar di HSK Jentiang, Sokor Taku dan Hulu Temiang mencatatkan sebanyak 11 spesies mamalia, empat spesies reptilia dan 23 spesies burung (Anon, 2006).
Dalam tahun 2004, Ekspedisi TNGS mencatatkan 57 spesies burung (Shahrul et al, 2005), 31 spesies mamalia (Zafir et al, 2005), 13 spesies amfibia (Norhayati et al, 2005), 18 spesies reptilia (Sharma et al, 2005) dan 15 spesies ikan air tawar (Abdullah et al, 2005). RPH juga memberi profil HSK yang mempunyai kepentingan hidupan liar seperti kewujudan badak Sumatra dan gajah dalam kawasan bersempadan dengan Taman Negara dan Sg. Nenggiri di mana Projek Ikan Kelah yang meibatkan masayarakat tempatan bertapak.
Biodiversiti Flora
RPH telah memberi satu ulasan dan penerangan yang agak lengkap mengenai status dan ancaman flora di Negeri Kelantan terutama mengenai spesies tumbuhan endemik dan hiperdemik. Maklumat tersebut adalah berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan oleh Ng & Low, 1982. Mengikut kajian tersebut, Kelantan mencatatkan mempunyai sejumlah 654 spesies pokok yang diangggap endemik kepada Semenanjung Malaysia, dan 52% (atau 340 spesies) daripadanya dianggap terancam. Dari sejumlah 148 spesies endemik yang dikenalpasti di Kelantan, 48 spesies adalah sama ada nadir atau sangat nadir. Sejumlah 7 spesies pokok endemik ditarafkan sebagai hiper-endemik (Jadual 1). Disamping itu terdapat banyak spesies herba yang bersifat endemik di Kelantan, termasuklah spesies Begonia yang ditemui di Gua Jaya and Sungai Bering, Epithema, Ophiorrhiza longerepens dari Batu Boh dan Paraboea dari Gua Gagak (lokaliti Batu Kapur) dan Gunung Rabong serta Conodoboea dari Sungai Ketil, di selatan Gua Musang (di tebing sungai) (Davison & Kiew, 1990).
Jadual 1. Senarai Spesies Tumbuhan Hiper-Endemik Dan Lokalitinya Di Kelantan
Negeri Kelantan juga mempunyai tumbuhan lain yang boleh dikatakan istimewa walaupun masih banyak terdapat di merata tempat di Kelantan. Ini termasuklah Vaughan's balsam di Gua Ikan dekat Dabong, Spatholirion ornatum di Gua Setir, Cryptocoryne minima dari Batu Boh dan kerabatnya Cryptocoryne purpurea dari Gua Panjang. Pokok palma besar Borassodendrom machadonis, tumbuh di 7 lokasi : 1 lokasi di Thailand dan 6 lokasi di Semenanjung Malaysia, di mana 2 daripada lokasi terbabit terletak dalam negeri Kelantan. Tumbuh-tumbuhan ini adalah jarang ditemui dan unik : tumbuh khususnya di tebing sungai di hutan dipterokarpa pamah yang terdedah kepada banjir kecil; di kaki bukit batu kapur dan batuan yang basah/lembap.
Konsep Hutan 'High Conservation Value'
Pengelasan HCVF merupakan satu daripada keperluan untuk pensijilan pengurusan hutan sebagai mematuhi Prinsip 9 Forest Stewardship Council (FSC) dan juga piawai [MC&I (2002)]. Konsep HCVF membahagikan hutan kepada enam kelas dan unsur seperti berikut (Jadual 2):
Jadual 2. Jenis Pengkelasan HCV