A- A A+

Maklumat MC & I

Kadar pengguna: 1 / 5

bintang aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktif
 

PENSIJILAN PENGURUSAN HUTAN DI SEMENANJUNG MALAYSIA

Pensijilan pengurusan hutan adalah merupakan satu aktiviti yang penting di peringkat antarabangsa, khususnya dalam perdagangan produk-produk kayu-kayan. Ianya merupakan satu pengiktirafan sepenuhnya pematuhan kepada amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan ( PHSB) di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri-negeri Semenanjung Malaysia yang diuruskan untuk tujuan pengeluaran kayu-kayan.

Sungguhpun Pensijilan Pengurusan Hutan yang dilaksanakan kini lebih menjurus untuk memenuhi tuntutan dan kehendak pasaran pengguna antarabangsa (International Consumer Demand) dan penyertaan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dalam Pensijilan Pengurusan Hutan pula adalah secara sukarela, namun penyertaan JPSM dan semua Jabatan Perhutanan Negeri dalam konteks ini adalah bertujuan untuk menzahirkan komitmen murni terhadap kepentingan pengekalan peranan dan sumbangan sumber hutan negara, terutamanya kawasan-kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di bawah amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) untuk dimanfaatkan oleh generasi masa kini dan masa hadapan.

Inisiatif ke arah Pensijilan Pengurusan Hutan mula dilaksanakan di Semenanjung Malaysia pada tahun 1994 berdasarkan ITTO Criteria and Indicators For Sustainable Forest Management. Standard ini telah diuji pemakaiannya di negeri Pahang, Selangor dan Terengganu menerusi satu projek perintis kerjasama Malaysia – The Netherlands pada pertengahan tahun 1996. Hasil kajian projek perintis ini telah dibincangkan dalam beberapa forum yang diadakan pada tahun 1998 dan 1999. Beberapa faktor, pandangan atau perkembangan penting terhadap kriteria dan petunjuk telah diambilkira. Di antaranya termasuklah:

  • Penerimapakaian Dutch Minimum Standards oleh pihak The Netherlands sebagai standard pengurusan hutan yang baik;
  • Penerimapakaian ITTO Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management of Natural Tropical Forests, 1998 di Malaysia; dan
  • Hasil sesi-sesi rundingan di peringkat wilayah(region) dan nasional pada tahun 1999 untuk merumuskan satu standard bagi Pensijilan Pengurusan Hutan.

Output daripada perbincangan di forum-forum ini adalah penghasilan dokumen bertajuk Malaysian, Criteria, Indicators, Actitivies and Standards of Performance (MC&I) for Forest Management Certification (Forest Management Unit Level), Peninsular Malaysia bertarikh 23 Disember 1999. Dokumen Standard ini lebih dikenali sebagai MC&I (2001). Secara ringkasnya, standard yang dibangunkan tersebut adalah seperti berikut:

KRITERIA INDIKATOR AKTIVITI PRESTASI STANDARDS
6 29 87 247

Penilaian untuk pelaksanaan Pensijilan Pengurusan ini telah dilaksanakan di empat Jabatan Perhutanan Negeri iaitu Johor, Pahang, Selangor dan Johor pada tahun 2000. Pada 24 Julai 2000 Majlis Perhutanan Negara Ke 15 telah bersetuju dengan pelaksanaan pensijilan pengurusan hutan di Malaysia.

Pada tahun 2001, dokumen standard Malaysian Criteria, Indicators, Activities and Standards of Performance (MC&I) for Forest Management Certification (Forest Management Unit Level), Peninsular Malaysia atau lebih dikenali sebagai MC&I (2001) telah digubal bagi tujuan pensijilan ini. Pada tahun 2002 lima (5) FMU iaitu Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu telah berjaya memperolehi Sijil Pengurusan Hutan berdasarkan standard MC&I (2001) diikuti oleh Johor dan Kedah pada 2003 dan Kelantan pada 2004.

Dokumen standard MC&I (2001) ini telah dibuat beberapa penambahbaikan berdasarkan kepada Prinsip dan Kriteria Forest Stewardship Council (FSC) dan dikenali sebagai Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification atau ringkasnya MC&I (2002). Standard MC&I (2002) ini telah dikemaskini semula selaras dengan hasil daripada maklumbalas dan pengalaman pelaksanaannya di lapangan dan telah digantikan dengan Standard MC&I (Hutan Asli) di bawah Programme for The Endorsement of Forest Certification Schemes (PEFC) melalui Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS) dan diguna pakai mulai Januari 2013. Setelah dibuat perubahan dan penambahbaikan, Standard MC&I (Hutan Asli) dapat dirumuskan seperti berikut:

PRINSIP KRITERIA INDIKATOR VERIFIER
9 47 97 307

 

Search

Mengenai Kami
Keluaran Utama Hasil Hutan dan Penggunaannya