A- A A+

Aktiviti Dan Pelan Tindakan Masa Hadapan

Bintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktif
 

Pengurusan Hutan Asli

Satu aspek yang penting yang perlu diambil kira dalam pengurusan hutan di negeri Kelantan adalah kebanyakkan hutan pengeluaran masa depan akan terdiri dari hutan yang telah dibalak atau hutan pusingan kedua. Hutan jenis ini adalah berbeza dari hutan dara dari segi struktur dan komposisi. Kadar tumbesaran untuk mendapatkan penghasilan yang digunakan dibawah pengurusan SMS perlu dikaji semula memandangkan kadar tumbesaran hutan dan komposisi hutan pusingan ketiga dijangka berbeza dan memerlukan preskripsi pengurusan yang berbeza untuk mengurus hutan tersebut secara berkekalan. Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan perlu mengambil inisiatif untuk memperbaiki preskripsi pengurusan untuk memastikan hutan pengeluaran negeri terus produktif dan mampu menyediakan hasil dan perkhidmatan secara berkekalan.

 

Tumbesaran dan penghasilan stok dalam dirian tinggal adalah sangat bergantung kepada sistem pengurusan serta cara perlaksanaan operasi pengusahasilan. Untuk memastikan dirian tinggal dapat pulih sepenuhnya adalah wajar Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan mengambil tindakan seperti berikut :

  • Memastikan operasi pembalakan dijalankan dengan mengikuti sepenuhnya panduan RIL dan Garis Panduan Jalan Hutan 2010 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Ini adalah satu keperluan di bawah piawai MC&I (2002).
  • Bagi pembalakan pusingan kedua,hanya kompartmen yang telah pulih sepenuhnya dan umur tahun balak (YEAL) melebihi 30 tahun diberi pertimbangan.
  • Memastikan hutan yang telah dibalak dijalankan inventori selepas tebangan dan dijalankan rawatan silvikultur yang sesuai.
  • Bagi hutan khas yang didominasi oleh spesies seperti meranti bukit atau seraya, preskripsi pengurusan perlu memastikan bahawa spesies tersebut masih dominan selepas tebangan. Ini memerlukan preskripsi tambahan supaya spesies tersebut terus dominan.
  • Menubuhkan lebih banyak Petak Tumbesaran dan Petak Contoh Kekal untuk memperolehi maklumat tumbesaran yang lebih menyeluruh dan tepat.
  • Memastikan semua pokok-pokok bersaiz besar tidak ditebang untuk mendapatkan pengeluaran biji benih bagi membantu dalam proses regenerasi secara semulajadi. Pembalakan pokok yang terlalu besar juga boleh meningkat kerosakan yang ketara ke atas dirian tinggal. Pokok-pokok yang terlalu besar juga sering didapati ada kerosakan.
  • Perlaksanaan preskripsi tambahan di bawah SMS yang menghadkan pengeluaran maksima 61m3/ha dan 85m3/ha masing-masing untuk hutan dibalak dan hutan dara telah banyak membantu meningkatkan produktiviti dirian tinggal dan membolehkan sebahagian pokok yang bersaiz di atas had batas tebangan ditinggalkan. Adalah wajar perkara ini dipantau dengan sepenuhnya dan pelaksanaannya dikaji dari masa ke masa.

 

Pelan Rancangan Bersepadu Alam Sekitar untuk Tanah Tinggi Lojing - Projek di bawah Rantau Ekonomi Pantai Timur (ECER)

Dalam tahun 2010 - 2011, East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) telah melantik Syarikat PAG Consult Sdn. Bhd., sebuah syarikat perancang Bandar swasta yang bertauliah untuk menjalankan satu kajian bagi menyediakan Pelan Pengurusan Bersepadu Alam Sekitar (Integrated Environmental Management Plan) untuk kawasan Tanah Tinggi Lojing, khususnya untuk mengurus pembangunan kawasan Tanah Tinggi Lojing berdasarkan penggunaan sumber semulajadi kawasan tersebut secara lestari. Kajian ini telah siap dan dibentangkan oleh PAG kepada pihak kerajaan dan swasta berkaitan dan telah diterima oleh ECERDC.

 

Berikut adalah beberapa penemuan dan cadangan projek tersebut yang relevan dengan pengurusan HSK di negeri Kelantan.

 

Penubuhan Hutan Simpanan Hutan Dara (VJR) dalam kawasan >1,000 m a.p.l.

Dari jumlah 17 VJR yang sediaada kesemuanya adalah terletak dibawah paras 1,000 m a.p.l. Memandangkan perlaksanaan kajian pembalakan dalam kawasan > 1,000 m a.p.l. terutama dalam kawasan-kawasan Hutan Dara maka adalah disyorkan supaya VJR ditubuhkan dikawasan-kawasan HSK tanah tinggi demi untuk melengkapkan lagi rangkaian kawasan perlindungan di UPH Negeri Kelantan. Kawasan hutan dara dalam kawasan tanah tinggi Jajahan Kecil Lojing yang disyorkan seperti berikut :-

 

Kawasan Bunga Pakma di Kampong Jedip (berhampiran HS Sg. Brok)

Kajian oleh pihak Universiti Malaysia Kelantan di dalam satu kawasan bersempadan dengan H.S Sg Brok iaitu berhampiran sebuah Kampong Orang Asli (Jedip) mendapati kawasan tersebut mempunyai satu populasi bunga pakma spesies Rafflesia kerrii yang besar. Kawasan yang dimaksudkan tersebut pada asalnya dimiliki oleh Syarikat Arena Proaktif tetapi dipercayai kawasan tersebut telah diserah balik kepada Kerajaan Negeri dan diganti dengan satu kawasan lain. Kemungkinan besar kawasan tersebut dan kawasan berhampiran seluas 645 ha akan diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal. Pihak ECERDC telah mengesyorkan supaya kawasan yang akan diwartakan kelak dikelaskan sebagai hutan perlindungan dibawah kategori hutan perlindungan hidupan liar (g) dibawah Seksyen 10(1) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985. Rajah 1 menunjukkan lokasi dan keluasan kawasan Bunga Pakma yang berkenaan.

 

Rajah 1. Kawasan Perlindungan Rafflesia


Bukit Berbatu (Tanah Kerajaan) Gunung Ayam

Terdapat sebuah gunung berbatu (Rajah 2) jenis formasi 'Conglomerate Hill' iaitu gabungan batu kecil (pebbles) dan batu-batu besar berhampiran HS Sg. Betis. Dari aspek geologi, gunung jenis formasi ini adalah unik dan jarang dijumpai berbanding dengan jenis-jenis batu kapur dan granit yang berleluasa. Puncak Gunung Ayam tersebut adalah setinggi 898 m a.p.l., sepanjang 8km dan meliputi kawasan seluas 861ha. Pada masakini sebahagian gunung ini adalah terletak dalam HS Sg. Betis dan sebahagian besar adalah terletak dalam Tanah Kerajaan diwartakan sebagai HSK demi untuk mengekalkan jenis formasi ini. Seterusnya gunung ini boleh diwartakan sebagai Hutan Penyelidikan dibawah Seksyen 10(1) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985.

 

 

Taxa Dipterokarpa Terancam di Negeri Kelantan

Dengan adanya terbitan 'Research Pamplet' 'Malaysia Plant Red List - Peninsular Malaysia Dipterocarpaceae' maka satu senarai taxa-taxa Kaum Dipterokarp yang terancam telah ada untuk menjadi rujukan. Dengan adanya senarai tersebut maka satu program dapat dilaksanakan untuk memastikan supaya spesies-spesies yang terancam tidak mengalami kepupusan. Penerbitan 'Research Pamplet' tersebut telah menyenaraikan sebanyak 155 spesies dari sejumlah 165 taxa Dipterocarpacease yang berasal (indigenous) dari Semenanjung Malaysia. Dari jumlah 155 spesies tersebut sebanyak 15 spesies digolongkan sebagai 'Critically Endangered' atau sangat terancam, 35 spesies lagi sebagai 'Endangered' atau terancam dan 42 spesies sebagai 'Vulnerable' atau dalam bahaya (Chuah et al., 2010). Dengan adanya senarai tersebut, pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan boleh mula mengumpul maklumat dan membuat penyemakan dilapangan untuk kewujudan kehadiran kesemua spesies sangat terancam, terancam dan dalam bahaya yang masih terdapat di Negeri Kelantan.

 

Sekiranya terdapat kewujudan spesies-spesies terutama dari golongan sangat terancam dan terancam maka Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan disyor supaya mengambil tindakan seperti berikut :-

  • Kawasan-kawasan HSK yang mengandungi spesies terancam hendaklah dijadikan sebagai Hutan HCV.
  • Bagi kawasan Hutan Tanah Kerajaan yang mengandungi taxa terancam tindakan perlu diambil untuk mewartakan kawasan Hutan Tanah Kerajaan yang terlibat sebagai HSK.
  • Melaksanakan pemerhatian fenologi ke atas mana-mana taxa yang dikenalpasti dan membuat dokumentasi musim berbunga dan berbuah spesies tersebut.
  • Menganjurkan kursus pengendalian spesies terancam dengan bantuan pakar terutama dari FRIM
  • Meningkatkan penguatkuasaan ke atas kawasan-kawasan hutan yang mengandungi spesies-spesies terancam yang terdapat di Negeri Kelantan

 

Gunung Chamah

Gunung Chamah merupakaa salah satu daripada gunung yang dikenali sebagai G7, iaitu tujuh puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia yang melebihi ketinggian 2,100m (7,000 kaki) a.p.l. Kecuali Gunung Tahan yang terletak di Banjaran Tahan, kesemuanya adalah terletak di Banjaran Titiwangsa. Gunung Chamah adalah gunung keenam tertinggi di Malaysia dan yang tertinggi di Kelantan. Ianya terletak berdekatan dengan sempadan negeri Perak dan merupakan salah satu gunung yang jarang dikunjungi dan diterokai. Tidak banyak kajian dijalankan dipergunungan ini. Selain daripada tinjauan awal yang terkini dijalankan oleh WWF-Malaysia, kajian yang paling saintifik setakat ini ke atas kawasan Gunung Chamah ialah ekspedisi yang dikendalikan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dari 24 - 26 July 2011. Ekspedisi saintifik ini disertai oleh ahli-ahli sains dan penyelidik dari Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah. Objektif ekspedisi tersebut adalah untuk menjalankan pemerhatian umum dan mengutip sampel/spesimen botanikal dan zologikal berkaitan kepelbagaian biologi dipersekitaran Gunung Chamah untuk kajian lanjut.

 

Gunung Chamah dipilih untuk ekspedisi disebabkan kedudukannya yang strategik diantara pergunungan Taman Negeri Gunung Stong di Kelantan dan Taman Negeri Diraja Belum di Perak. Dari segi kedudukan geografinya, Chamah adalah sebahagian daripada koridor diantara 'Lower Belum' di Negeri Perak dan Lembah Nenggiri di Negeri Kelantan; satu kawasan yang masih diliputi hutan dan belum terusik. Tidak banyak yang diketahui berkenaan flora dan fauna gunung bagi kawasan tersebut tetapi secara lazimnya mungkin akan ada spesies endemik dan spesies yang jarang ditemui terdapat di persekitarannya. Kemungkinan terdapat badak Sumatra di kawasan tersebut adalah agak tinggi.

 

Gunung Chamah merupakan satu kawasan pergunungan yang agak luas tetapi sehingga kini masih belum ada perlindungan khusus bagi kawasan tersebut. Setakat ini ia masih belum diwartakan sebagai HSK, juga tidak diwartakan sebagai Taman Negeri atau Taman Hidupan Liar. Oleh itu adalah sangat mustahak Gunung Chamah dan persekitaran pergunungannya (Rajah 3) di wartakan sebagai HSK terlebih dahulu dan kemudian diwaartakan untuk fungsi hutan perlindungan dibawah kelas Taman Negeri di bawah Seksyen 10(1) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakian) 1985.

Rajah 3. Gunung Chamah Dan Persekitaran Pergunungannya

 

 

 

 

 

 

Search

Mengenai Kami
Keluaran Utama Hasil Hutan dan Penggunaannya