Di bawah Perkara 74(2) Perlembagaan Malaysia, perhutanan adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri. Oleh yang demikian, setiap negeri berkuasa untuk menggubal undang-undang di sektor perhutanan dan dasar perhutanan tersendiri. Pihak Berkuasa Persekutuan hanya memberi nasihat dan bantuan teknikal kepada negeri, penyelenggaraan stesen-stesen percubaan dan demonstrasi, latihan dan penyelidikan.
Bagi memudahkan penyelarasan dan penyeragaman dalam bidang perhutanan, Majlis Perhutanan Negara (MPN) telah ditubuhkan pada 20 Disember 1971 oleh Majlis Tanah Negara (MTN). Dalam konteks ini, MTN diberi kuasa di bawah perlembagaan Malaysia untuk menggubal dasar kebangsaan bagi memajukan dan mengawal penggunaan tanah untuk perlombongan, pertanian dan perhutanan. MPN merupakan forum antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi membincangkan masalah dan isu berhubung dengan dasar perhutanan, pentadbiran dan pengurusan. Semua keputusan MPN perlulah disahkan oleh MTN. Tanggungjawab untuk melaksanakan keputusan MPN adalah menjadi tugas Kerajaan-Kerajaan Negeri kecuali jika ianya di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Dasar dan Perlembagaan
Pada tahun 1977, Dasar Perhutanan Negara (DPN) telah diluluskan oleh MPN dan kemudian disahkan oleh MTN pada 19 April 1978. Dasar tersebut telah dikaji semula pada 10 November 1992 atas kesedaran yang ditunjukkan oleh masyarakat dunia terhadap kepentingan pemeliharaan kepelbagaian biologi dan penggunaan sumber genetik secara berkekalan serta peranan masyarakat dalam pembangunan perhutanan. Penerimaan dasar tersebut merupakan suatu kejayaan memperkukuhkan asas perlembagaan dan mengeratkan kerjasama dan persefahaman di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam pembangunan sektor perhutanan.
Selain dari Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) dan Akta Industri Berasaskan Kayu 1984 terdapat juga undang-undang lain yang penting dan ada kaitan dengan sektor perhutanan seperti :
- Kanun Tanah Negara 1965.
- Kanun Keseksaan (FMS Cap.45), 1948 (Pindaan 1993).
- Kanun Acara Jenayah (FMS Cap.6), 1903 (Pindaan 1995)
- Akta Keterangan 1950 (Pindaan 1993)
- Akta Prosedur Kewangan 1967 (Pindaan 1993).
- Enakmen Bekalan Air 1935.
- Akta Perlindungan Tanah 1960.
- Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Pindaan 1976 & 1988).
- Akta Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia 1973
- Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 1995).
- Akta Taman Negara 1980 (Pindaan 1983).
- Akta Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Hutan Malaysia 1985.
- Enakmen Perlombongan 1926.
- Akta Kerajaan Tempatan 1976.
- Akta Biokeselamatan 2007.